Find Us On Facebook

banner image
banner image

Produk pemutih, antipenuaan tertinggi permintaan

Fenomena memutihkan kulit dalam kalangan wanita bukan sahaja berlaku secara meluas di Malaysia tetapi juga sebahagian besar negara di Asia Tenggara.

India juga tidak ketinggalan mempunyai permintaan tinggi terhadap produk pemutihan kulit. Ia gara-gara persepsi zaman-berzaman yang menganggap wanita berkulit cerah lebih cantik berbanding dengan berkulit gelap.

Di samping itu, wanita di benua Afrika juga obses memutihkan kulit kerana persepsi kulit cerah itu lebih menawan.

Persepsi itu tidak salah. Tetapi apa yang membimbangkan adalah ada produk pemutih yang dihasilkan menggunakan bahan kimia terlarang memberi kesan buruk kepada kesihatan dalam jangka panjang.

Menurut Pengarah Kanan, Flagship Tenaga dan Alam Sekitar, Penyelidikan Perindustrian SIRIM Bhd., Dr. Zanariah Ujang, produk pemutihan dan antipenuaan mendapat permintaan tinggi di negara ini.

“Ramai pengguna mudah tertarik dengan iklan produk kosmetik di pasaran, namun mereka kurang peka terhadap bahan kandungan dan aspek keselamatan produk. Sudah menjadi trend, rata-rata pengguna mahukan kesan pantas atau dengan sekali pakai sahaja, kesannya boleh kelihatan.

“Itu mendorong pengeluar produk kosmetik mencari cara menghasilkan produk yang boleh memberi kesan cepat sehingga tidak mempedulikan keselamatan pengguna,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai bahan, Zanariah berkata, kebiasaannya produk pemutih mengandungi vitamin C sintetik, arbutin dan asid kojik yang tidak memberi kesan merbahaya. Namun menjadi masalah apabila terdapat penggunaan bahan kimia terlarang seperti hydroquinone, merkuri, asid azelaik dan tretinoin.

“Di Malaysia, bahan ini tidak dibenarkan dalam produk kosmetik kerana mendatangkan kesan memudaratkan seperti kerengsaan teruk, hiperpigmentasi seperti ochronosis dan kulit menjadi terlalu sensitif, selain kerosakan saraf dan buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata, turut menjadi masalah apabila pengeluar tidak melabelkan bahan kandungan pada produk mereka, menyebabkan pengguna tidak mendapat maklumat lengkap.

Sementara itu, Ketua Seksyen Kosmetik dan Produk Semula jadi, Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian SIRIM Bhd., Sarifah Rejab berkata, pihaknya menasihatkan pengeluar yang datang mendapatkan khidmat runding dan kepakaran di organisasi itu agar memastikan bahan yang diguna dalam produk mereka selamat kepada pengguna.

“Mereka seharusnya bertindak secara beretika dan bertanggungjawab terhadap pengguna, bukan mencari keuntungan semata-mata,” katanya.

SIRIM katanya, menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan terhadap bahan semula jadi yang selamat dengan matlamat utama adalah memberi manfaat kepada pengeluar dan pengguna.
“Bahan semula jadi ini tidak memutihkan kulit dalam masa singkat tetapi ia mengawal penghasilan melanin pada lapisan kulit, sekali gus membuatkan kulit tidak rosak akibat pemutihan melampau,” katanya.

Sumber Utusan: https://m.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/produk-pemutih-antipenuaan-tertinggi-permintaan-1.403662#sthash.Pjnfk2RQ.dpuf
Produk pemutih, antipenuaan tertinggi permintaan Produk pemutih, antipenuaan tertinggi permintaan Reviewed by Unknown on November 07, 2016 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.